Friday 28 December 2012

Kata-Kata Aluan

Bismillahhirahmannirahim

Bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah dan kurnia-Nya serta inayah-Nya serta selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, maka dapat kita bersua di alam siber dalam blog saya ini.

Kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan amat penting kerana hanya kejayaan di dalam peperiksaan yang akan menentukan hala tuju seseorang itu di masa hadapan. Saya akan sentiasa membantu pelajar-pelajar di SMK Jengka 6 yang ingin melanjutkan pelajaran mereka ke Institusi Pengajian Tinggi Awam kerana itu adalah tanggungjawab saya namun, para pelajar yang kurang cemerlang juga tetap akan dibantu untuk melanjutkan pelajaran ke IPTS atau institusi kemahiran yang berkaitan.

Inilah yang dikatakan Modal Insan yang amat diperlukan bagi memacu negara Malaysia mencapai Wawasan 2020 yang hanya tinggal 12 tahun lagi. Penguasaan dalam bidang pendidikan amat penting kepada generasi muda pada masa kini, kerana ianya merupakan aset yang paling penting dalam menjana Negara Malaysia yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.


Saya berjanji akan terus membantu seluruh pelajar di SMK jengka 6 untuk mendapat pendidikan yang berkualiti serta mencapai tahap pendidikan yang tertinggi. Selain daripada itu, pelajar-pelajar haruslah sentiasa bersedia dengan pelbagai rintangan serta godaan yang hanya akan menggagalkan usaha murni ini terutamanya di dalam dunia yang semakin mencabar serta arus perdana globalisasi dunia.

Sebagai Pengetua, saya berikrar dan bersedia untuk membantu pelajar-pelajar dalam apa jua cara sekalipun bagi memastikan agenda pembangunan pendidikan untuk meningkatkan mutu pendidikan pelajar akan terus terbela.

Akhir kata, kepada para pelajar, saya sentiasa berdoa agar anda semua akan berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan PMR & SPM yang akan datang.

No comments:

Post a Comment