Friday 28 December 2012

KAJIAN MENGENAI STRESS DI KALANGAN GURU MATEMATIK DAN SAINS DI BEBERAPA BUAH SEKOLAH TERPILIH DI BANDAR JENGKA

OLEH : Hayudin Bin Hj Md Suhor

1.0 Pengenalan

Stress atau tekanan kerja merupakan salah satu perkara yang sentiasa dihadapi oleh mana-mana kakitangan dalam sesebuah organisasi. Cuma yang berbezanya ialah kadar stress yang dihadapi, iaitu amat bergantung kepada personaliti individu, dan cabaran serta persekitaran yang dihadapi seseorang individu tersebut. Kajian ini cuba untuk melihat fenomena strees di kalangan guru matematik dan sains di beberapa buah sekolah terpilih di bandar Jengka.

2.1 Kajian berkaitan.

Stress merupakan fenomena yang dihadapi oleh setiap individu dalam mengadapi kehidupan ini, yang penuh dengan cabaran dan persaingan. Beberapa kajian telah menghuraikan beberapa penyebab utama yang menyumbang ke arah stress. Penyebab utama tersebut termasuklah :

• JM (Job Mismatch), yang merujuk kepada kerja yang dilakukan menuntut kemahiran dan kemampuan yang tidak sesuai dengan kemahiran dan kemampuan pekerja.
• CE (Conflicting Expectation), yang merujuk kepada konsep dan pengharapan organisasi bertentangan dengan konsep dan pengharapan individu dalam organisasi tersebut. Perbezaan tersebut mungkin dipengaruhi oleh kumpulan tidak formal yang wujud dalam organisasi, atau dipengaruhi oleh faktor-faktor yang lain.
• RA (Role ambiguity), fenomena ini wujud, apabila seseorang pekerja tidak pasti atau tidak jelas, tentang apa yang sepatutnya dilakukan, atau tidak jelas tentang perkara-perkara penting dalam organisasi, seperti, gaji, ganjaran , hukuman dan peraturan serta terhadap pengharapannya terhadap pekerjaannya.
• RO (Role overload), yang mana pekerja diminta untuk melakukan pekerjaan yang diluar kemampuannya (terutama dari sudut masa dan bahan), dan juga pekerja itu sememangnya tidak berkemampuan untuk melakukan sesuatu pekerjaan tersebut.
• FR (Fear/responsibility), yang mana pekerja merasa takut kalau-kalau pekerjaannya tidak dapat dilakukan dengan sempurna, atau gagal dalam usahanya. Mereka juga merasakan matlamat yang ditetapkan terlalu tinggi untuk dicapai, dalam masa yang sama pekerja itu juga merasakan ia bertanggungjawab kepada orang lain.
• WC (Working condition), ianya merujuk kepada suasana tempat ia bekerja sesuatu yang tidak menyeronokkan, misalnya peraturan yang terlalu menekan pekerja, atau penggunaan prosedur kerja dan penggunaan mesin yang baru juga boleh mewujudkan tekanan terhadap sesaorang pekerja itu. Begitu juga jangka waktu kerja yang terlalu lama atau memenatkan.
• WR (Working relationships), ianya merujuk kepada individu itu mempunyai masalah yang berkaitan dengan hubungannya dengan orang lain dalam konteks menyempurnakan tugasnya, misalnya ia mempunyai masalah untuk berhubung dengan penyelianya, atau mungkin tidak dapat bekerja dalam satu-satu kumpulan pekerjaan.
• A (Alienation), iaitu yang dialami oleh mereka yang mempunyai keterbatasan hubungan dengan orang lain, atau dipinggirkan, ataupun tidak diambilpeduli dalam proses membuat keputusan.

2.2 Objektif Kajian.

Objektif umum kajian ini ialah untuk meninjau tahap stress yang dihadapi oleh guru-guru matematik dan sains di beberapa buah sekolah di sekitar Bandar Jengka. Antara objektif khusus kajian ini ialah:

1. Untuk melihat tahap pencapaian guru Sains dan Matematik dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Metamatik.
2. Untuk melihat tahap stress yang dialami oleh guru-guru matematik dan sains secara umum.
3. Untuk melihat kategori dan rangking ketegori stress yang dihadapi oleh guru-guru matematik dan sains.
4. Untuk melihat perbezaan tahap stress yang dialami berdasarkan jantina..

3. 0 Metodologi Kajian.

3.1 Tempat Kajian

Kajian ini dilakukan di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Bandar Jengka. Sekolah-sekolah tersebut ialah :

• Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat 2.
• Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 10
• Ma’had as-Sultan Ahmad Asas ad-Dini
• Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 12
• Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 21.

Sekolah-sekolah tersebut di atas dipilih kerana diyakini dapat memenuhi objektif kajian ini. Di samping itu, ia agak mudah untuk dikendalikan kerana mempunyai hubungan yang baik dengan penyelidik serta berhampiran dengan tempat tinggal penyelidik. Oleh itu kajian ini akan lebih mudah dilaksanakan, dengan masa dan kos yang munasabah.

3.2 Populasi dan Persampelan.

Populasi kajian ini ialah semua guru yang mengajar matematik dan sains di lima sekolah yang dipilih. Oleh kerana sekolah yang dipilih secara relatifnya merupakan sekolah yang kecil, maka bilangan guru matematik dan sains adalah tidak terlalu besar. Soal selidik telah diberikan kepada semua guru yang mengajar matematik dan sains di sekolah yang dibuat kajian . Oleh yang demikian dapatan ini diyakini mampu menggambarkan tanggapan keseluruhan guru matematik dan sains di sekolah yang dikaji.

3.3 Alat Kajian.

Untuk mendapatkan data, kajian ini menggunakan borang soal selidik yang diolah khusus bagi menjawab objektif kajian. Borang soal selidik ini mempunyai tiga bahagain utama iaitu:

• Bahagian pertama, menyentuh latar diri responden, seperti umur, jantina, opsyen, jangka masa perkhidmatan, pencapaian dalam mata pelajaran matematik, sains dan Bahasa Inggeris di peringkat SPM.
• Bahagian kedua, bertanyakan tentang tiga stress yang dihadapi oleh responden, berdasarkan urutan keutamaan
• Bahagian ketiga, mengenai dengan pengukuran terhadap stress yang dialami oleh responden, berdasarkan 20 item soalan yang telah digunapakai dalam beberapa penyelidikan dalam mengukur tahap stress.

3.4 Pengumpulan Data

Soal selidik yang dibentuk itu diedarkan kepada responden di sekolah-sekolah yang terpilih. Dalam proses tersebut, kerjasama daripada guru besar atau pengetua dimanfaatkan. Soal selidik yang telah dijawab dikumpulkan untuk dianalisis oleh penyelidik. Sebanyak 80 peratus soal selidik telah dijawab oleh responden daripada keseluruhan soal selidik yang diedarkan. Peratusan ini adalah suatu yang tinggi dan boleh diyakini kekuatannya.

3.5 Penganalisisan Data.

Data yang didapati dari soal selidik telah dianalisis bagi manjawab objektif kajian ini. Oleh kerana bilangan responden agak sedikit, kaedah pengiraan manual digunakan untuk menganalisis data ini. Apatah lagi, ada sebahagian dari kajian ini bersifat kualitatif.

4.0 Dapatan Kajian.

Bahagian ini membincangkan dapatan yang dianalisis dari soal selidik yang telah dijawab oleh responden. Ianya merangkumi maklumat peribadi responden, tahap stress, ranking stress dan penyebab utama dan tahap stress berdasarkan jantina.

4.1 Maklumat Peribadi

4.1.1 Jantina.

Mengenai jantina, daripada 21 orang responden yang menjawab soal selidik, terdapat 13 orang (62 %) terdiri daripada responden lelaki, manakala selebihnya 8 orang (38%) adalah responden perempuan.

4.1.2 Umur.

Dilihat daripada segi umur, ianya boleh dirujuk kepada Jadual 1 di bawah ini:

JADUAL 1
Umur Lelaki Perempuan Jumlah %
25-30 3 4 7 33.3
31-35 6 1 7 33.3
36-40 2 2 4 19.0
41-45 1 1 2 9.5
46-50 1 0 1 4.8
Jumlah 13 8 21 100%


Berdasarkan Jadual 1 di atas ianya menunjukkan, umur responden berdasarkan kelompok umur 25-30 tahun seramai 7 orang, iaitu 3 responden lelaki dan 4 responden perempuan yang melibatkan 33.3 % dari keseluruhan responden. Untuk kelompok umur 31-35 juga seramai 7 orang iaitu 6 orang lelaki dan seorang perempuan dengan jumlah peratusan 33.3 %. Manakala untuk kelompok umur 36-40 tahun, terdapat 4 orang iaitu dua lelaki dan dua perempuan, yang mewakili 19.0%, bagi kelompok umur 41-45 tahun, seramai dua orang iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang mewakili 9.5%. Manakala untuk kelompok umur 46-50 tahun hanya seorang responden iaitu responden lelaki yang mewakili 4.8%.

Dapatan ini menunjukkan, bahawa sebahagian besar responden iaitu 66.6% berumur di bawah 35 tahun. Mereka berada dalam tahap umur yang produktif jikalau diolah dengan cara yang lebih wajar.

4.1.3 Pengalaman Mengajar.

Mengenai pengalaman mengajar, ianya dapat dilihat melalui Jadual 2 di bawah ini:

JADUAL 2
Bil. Tahun Lelaki Perempuan Jumlah %
1 – 5 3 2 5 23.8
6 – 10 2 4 6 28.6
11 – 15 5 1 6 28.6
16 – 20 2 1 3 14.4
21 –25 1 0 1 4.7
Jumlah 13 8 21 100%


Berdasarkan Jadual 2 di atas menjelaskan, untuk kelompok tahun mengajar 1-5 tahun seramai 5 orang responden, iaitu 3 lelaki dan 2 perempuan yang mewakili 23.8 %. Manakala untuk kelompok mengajar 6-10 tahun seramai 6 orang, iaitu dua lelaki dan 4 orang perempuan yang mewakili 28.6 %. Untuk kelompok 11-15 tahun mengajar, terdapat 6 orang yang terdiri dari 5 lelaki dan seorang perempuan, yang mewakili 28.6%. Untuk kelompok perkhidmatan selama 16-20 tahun terdapat 3 orang yang terdiri dari dua orang lelaki dan seorang perempuan yang mewakili 14.3%. Bagi kelompok perkhidmatan 21-25 tahun, iaitu seramai seorang iaitu responden lelaki yang mewakili 4.7%.

Dapatan di atas menunjukkan lebih separuh 52.4% responden mempunyai pengalaman mengajar 10 tahun ke bawah, manakala selebihnya adalah lebih dari sepuluh tahun, hingga 25 tahun pengalaman mengajar.

4.1.4 Pencapaian Dalam Bahasa Inggeris.

Untuk melihat tahap pencapaian responden dalam mata pelakaran Bahasa Inggeris, ianya dapat diteliti melalui Jadual 3 di bawah:

JADUAL 3
Pencapaian Lelaki Perempuan Jumlah %
Kredit 5 3 8 38.1
Tidak kredit 8 5 13 61.9
Jumlah 13 8 21 100%


Berdasarkan Jadual 3 di atas menunjukkan, tentang pencapaian responden dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat SPM. Jadual di atas memaparkan, hanya lapan orang atau 38.1 % dari responden yang mendapat krredit dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, iaitu lima orang lelaki dan tiga orang perempuan, manakala selebihnya 13 orang atau 61.9 peratus tidak mendapat kredit dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Dapatan ini dapat meramalkan, bahawa tentunya mereka akan menghadapi masalah dan stress apabila dikehendaki mangajar dalam mata pelajaran sains dan matematik dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya.

4.1.5 Pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik.

Data yang diperolehi, secara relatifnya agak baik dalam mata pelajaran sains dan matematik. Bagi matapelajaran sains hanya 2 orang sahaja atau 9.5 % responden yang menyatakan mereka tidak kredit dalam malatpelajaran tersebut, manakala selebihnya 19 orang mandapat kredit.

4.2 Tahap Stress Guru Matematik dan Sains.

Tahap stress guru matematik dan sains secara umum, dapat dilihat melalui Jadual 4 di bawah ini:
JADUAL 4
Kelompok skor Lelaki Perempuan Jumlah %
20 – 29 7 4 11 52.3
30 – 49 6 4 10 47.6
50 – 60 0 0 0 0.00
Jumlah 13 8 21 100%

Jadual di atas menjelaskan tentang kekerapan dan peratusan skor stress berdasarkan kelompok skor yang digunapakai secara universal, iaitu kelompok skor 20-29, kelompok skor 30-49, dan kelompok skor 50-60.

Kelompok skor 20-29, merujuk kepada tahap stress pada tahap normal. Jadual di atas menunjukkan, 11 responden berada pada skor tahap ini, iaitu 7 responden lalaki dan 4 responden perempuan. Ini membawa maksud, lebih separuh (52.3%) responden mampunyai tahap stress di peringkat normal dan tidak membimbangkan.

Bagi kelompok skor 30-49, yang merujuk kepada tahap stress yang berpotensi untuk menjadi kronik dan bermasalah jikalau tidak ditangani secara tepat dan bijaksana. Jadual tersebut menunjukkan, 10 orang responden, iaitu 6 responden lalaki, dan 4 responden perempuan berada dalam kelompok skor tersebut. Ini menunjukkan 47.6% responden berada pada tahap stress yang boleh mengundang masalah, atau boleh membawa kepada masalah yang lebih kronik.

Bagi kelompok skor 50-60, iaitu kelompok skor stress yang berada pada tahap bahaya, jadual di atas menunjukkan tiada seorang pun dari responden berada pada tahap stress kelompok ini. Hal sedemikian menunjukkan tahap stress responden tidak berada pada tahap bahaya atau kritikal.

4.3 Ranking Stress dan Penyebab Utamanya.

4.3.1 Kesemua responden melengkapkan ruangan stress untuk ranking yang utama. Analisis kualitatif yang dibuat, mendapati stress dalam ranking pertama melibatkan kesimpulan berikut:

• Terdapat 9 dari responden atau 43% mereka meletakkan tekanan pada tahap pertama ini berkaitan dengan RO (role overload), ini berkait rapat dengan kelemahan mereka dalam Bahasa Inggeris yang mereka alami amat menekan perasaan mereka. Mereka juga kurang yakin dan kurang berkemampuan untuk tujuan tersebut. Di samping itu mereka juga tertekan kerana peralatan yang kurang, kekurangan staff sokongan, kekurangan masa akan menghambat keberkesanan mereka untuk melakukan tugas dengan sempurna.

• Sebanyak 7 orang responden atau 33.3% mereka meletakkan stress pada tahap nombor satu berkaitan dengan FR (fear/responsibility), iaitu mereka berhadapan dengan realiti pelajaran yang lemah dalam mata pelajaran sains dan matematik. Selain lemah dalam Bahasa Inggeris, responden juga ragu akan kebolehan diri serta kemampuan pelajar untuk mengikuti mata palajaran tersebut dengan menggunakan bahasa Inggeris. Mereka juga tertekan, kerana matlamat pencapaian bagi kelulusan mata pelajaran tersebut adah tinggi, dan agak mencabar untuk dicapai.

• Terdapat 4 orang responden (19%), mereka meletakkan, stress pada ranking pertama, berkaitan dengan WR (working relationship), kerana melibatkan orang lain yang mempengaruhi keberkesanan tugas yang mereka lakukan. Dalam konteks ini, responden merasakan mereka gagal mendapatkan kerjasama dari pelajar kerana ada di kalangan pelajarnya yang tidak mahu bekerjasama, tidak mempunyai minat tidak menumpukan perhatian dan tidak membuat kerja rumah sebagaimana sepatutnya. Fenomena ini memberi tekanan kepada mereka.

• Hanya seorang sahaja (4.5%) responden yang menyatakan ia tidak mempunyai stress langsung dalam melaksanakan tugasnya sebagai guru, khususnya bagi mata pelajaran matematik dan sains.

4.3.2 Bagi ranking kedua tahap stress yang dialami oleh guru matematik dan sains, tidak semua rresponden melengkapkan soal selidik dalam bahgian ini.. Analisis ini dibuat berdasarkan jumlah kekerapan dan peratusan dari respon yang dilengkapkan. Analisis ini, melibatkan perkara-perkara berikut:


• Terdapat 8 responden atau 50% dari responden yang melengkapkan jawapan, mengaitkan tahap kedua stress yang mereka hadapi, berkaitan dengan FR fear/responsibility), ini berkait dengan kebimbangan mereka terhadap penurunan keputusan peperiksaan yang akan diadakan, kelemahan pelajar mereka dalam matematik dan sains, di samping, hakikat yang pelajar mereka yang lemah dalam mata pelajaran tersebut, di samping pelajar yang tidak berkemahiran. Perkara ini ditambah pula dengan pengharapan yang tinggi kepada mereka untuk memastikan dasar yang dilaksanakan itu perlu mancapai kejayaan.

• Terdapat 4 responden yang boleh dikaitkan dengan faktor RO (role overload) iaitu mewakili 25% daripada jawapan yang diberikan. Ini melibatkan stress yang berkaitan dengan kekurangan masa yang diperuntukkan untuk mengajar, kekangan masa yang begitu terhad untuk melaksanakan sesuatu tugas, di samping kekurangan peralatan terutama untuk melaksanakan amali dalam mata pelajaran sains.

• Jawapan selebihnya yang diberikan iaitu 4 responden (25%), stress itu berlaku boleh dikaitkan dengan WR (working relationship), yang meletakkannya dalam ranking yang kedua tahap stress. Masalah tersebut berkitan dengan sikap pelajar yang tidak bersungguh-sungguh, tidak memberikan perhatian ketika guru mengajar, tiada inisiatif untuk memajukan diri. Oleh yang demikian, maka tugas akan sukar dilaksanakan.

4.3.3 Untuk ranking tahap ketiga, hanya 11 responden yang melengkapkan jawapan mereka. Daripada jawapan tersebut, dapatlah dibuat beberapa kesimpulan, antaranya:

• Dari 11 jawapan yang diberikan, terdapat 4 responden (36%) masalah mereka melibatkan RO (role overload), ini melibatkan masalah-masalah seperti kekurangan bahan untuk kajian, terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan dalam jangka waktu yang singkat, dan persoalan kerja yang lain.

• Terdapat 4 lagi responden (36%) dari jawapan, masalah mereka melibatkan FR (fear/responsibility), ini termasuklah ketidakyakinan mereka untuk mengajar dalam bahasa Inggeris, yang pengajaran mereka dapat difahami oleh pelajar,terdapat pelajar yang dalam UPSR yang mereka ajar, terdapat tajuk pengajaran yang terlalu sukar untuk pelajar fahami, serta tidak yakin pelajar akan memahami pengajaran mereka dalam mata pelajaran matematik dan sains dengan mengunakan bahasa Inggeris.

• Terdapat 3 respon (27.3%) dari jawapan, yang stress mereka melibatkan WR (working relationship), yang menyumbangkan tahap stress ranking ketiga. Ini melibatkan masalah yang berkaitan dengan sikap pelajar yang negatif, pelajar yang kurang komitmen untuk berusaha, serta pelajar yang tidak meminati mata pelajaran sains dan matematik.
4.3.4 Tahap Stress Berdasarkan Jantina.

Berdasarkan data yang diperolehi, dan analisis yang dilakukan, didapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap stress guru lelaki berbanding dengan guru perempuan. Ini dapat dilihat melalui min skor stress bagi guru-guru matematik dan sains lelaki ialah 32.5, berbanding dengan min skor stress bagi guru-guru perempuan iaitu 32.7. Walaupun dapatan ini menunjukkan tahap stress guru perempuan lebih tinggi berbanding dengan guru lelaki.

Min skor bagi guru lelaki dan perempuan masih berada pada tahap kelompok skor 30-49 iaitu pada tahap kedua, iaitu tahap yang perlu diberikan perhatian.

5.0 Perbincangan.

Berdasarkan analisis yang dibuat, kajaan ini menunjukkan, bahawa tahap stress bagi guru-guru matematik dan sains berada pada tahap normal dan terkawal. Walau bagaimanapun, masalah ini perlu ditangani secara bijksana, kerana ada kemungkinan juga ia boleh menjadi lebih kronik.

Kajian ini juga menjelaskan, ranking pertama stress di kalangan guru-guru matematik dan sains, adalah melibatkan RO (role overload) iaitu sebanyak 43%. Masalah ini amat berkait dengan kelemahan guru dalam bahasa Inggeris. Dapatan ini wajar kerana 38.1% responden sahaja yang mendapat kredit dalam mata peljaran bahasa Inggeris.Oleh itu isu penggunaan bahasa Inggeris menjadi punca utama stress di kalangan guru matematik dan sains. Selain dari RO, ranking pertama ini melibatkan FR (fear responsibility) iaitu sebanyak 33.3% dan WR (working relationship) sebanyak 19%.

Bagi ranking nombor dua juga melibatkan sumber stress FR (fear relationship) 50%, RO (role overload) 25%, dan WR (work relationship) 25%. Bagi ranking nombor tiga, ianya melibatkan RO (role overload) 36%, FR (fear responsibility) 36% dan WR (working relationship) 27.3%.

Kajian ini mendapati, hanya tiga sumber utama yang menyumbang ke arah stress di kalangan responden yang dikaji, iaitu RO (role overload). FR (fear/responsibility) dan WR (working relationship). Menakala. Sumber-sumbar yang lain JM (job mismatch) tidak dijadikan sebab stress, begitu juga dengan CE (complicting Expactation), RA (role ambibiguity), WC (working condition), dan A (alienation).

6.0 Kesimpulan.

Dari perbincangan di atas, menunjukkan, bahawa stress merupakan satu perkara yang dihadapi oleh setiap individu yang berada dalam mana-mana organisasi. Kajian ini mendapati bahawa tahap stress bagi guru-guru matematik dan sains yang dikaji berada pada tahap normal. Walaupun begitu hampir separuh daripadanya berada pada tahap yang boleh memudaratkan jikalau tidak dibendung. Kajian ini juga mendapati tiada seorang pun di kalangan guru yang dikaji berada pada tahap stress yang berbahaya dan kritikal. Faktor penyumbang utama kepada stress adalah berkaitan dengan RO (role overload) diikuti oleh faktor FR (fear/responsibility), dan juga WR (working relationship). Manakala faktor-faktor lain seperti JM (job mismatch), CE (conflicting expectation), RA (role ambiguity), WC (working condition) dan A (alienation), tidak dianggap sebagai sumber stress yang signifikan kepada responden yang dikaji. Walaupun tahap stress tidak berada pada titik kritikal, namun ia perlu ditangani secara berhemah, agar masalah stress tidak menjadi lebih parah. Di samping itu, proses penyelesaiannya, pastilah akan membawa kebaikan bersama iaitu terhadap guru-guru dan institusi sekolah juga sistem pendidikan secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment