Friday, 28 December 2012

BOOK REVIEW : WAWASAN PENDIDIKAN

KANDUNGAN

1. Tajuk Buku
2. Penulis
3. Tahun Di Terbitkan
4. Nama Penerbit
5. Isi / Kandungan
6. Sinopsis
7. 10 isu
8. Penutup

1.0 Tajuk Buku : WAWASAN PENDIDIKAN - Agenda Pengisian
2.0 Penulis : Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin
3.0 Tahun di terbitkan : 1993 cetakan ketiga 1994
4.0 Nama Penerbit : Cahaya Pantai Publishing (M) Sdn. Bhd. Kuala Lumpur
5.0 Isi / Kandungan buku

Prakata
Kata Pengantar
1. Pengisian Wawasan Pendidikan
2. Wawasan Pendidikan Dalam Menangani Era 2020 : Tasawur dan Strategi
3. Reformasi Pendidikan dan Pembangunan Tenaga Manusia Bagi Menghadapi Cabaran
Wawasan 2020
4. Guru dan Kejayaan Wawasan
5. Keguruan menjelang Abad ke – 21 Cabaran dan Hadapan
6. Wawasan 2020 : Peranan Kepimpinan Pendidikan
7. Pengurusan dan Budaya Kerja
8. Wawasan 2020 dan Pendidikan Pembinaan Usaha Muafakat
9. Ke Arah Pelaksanaan Nilai-nilai Murni Dalam KBSM :

Falsafah Pendidikan Negara
Bibliografi
Indeks

6.0 Sinopsis

Buku “Wawasan Pendidikan : agenda pengisian” ini direncanakan khusus untuk memenuhi perkembangan dunia pendidikan sesuai dengan pengalaman luas penulis dalam bidang tersebut. Buku ini merupakan karya penting yang dihasilkan oleh pemikir, tokoh, serta pentadbir pendidikan yang berwibawa. Gabungan pengalaman dan ilmu serta kepakaran dalam bidang pendidikan di samping terlibat secara langsung dalam penyelidikan, pengajaran dan perancangan dunia pendidikan tanahair membolehkan beliau mencurahkan ilmu secara meluas dan mantap. Buku ini membicarakan persoalan-persoalan asas dan pokok yang melibatkan wawasan, cabaran dan persiapan dalam dunia pendidikan.

Melalui sembilan bab dengan 20 buah rujukan asas, penulis telah membicarakan persoalan-persoalan dasar dan tujuan pendidikan, persoalan reformasi pendidikan, nilai murni dan pendidikan Islam, persoalan guru dan keguruan, persoalan kepimpinan pendidikan, budaya kerja dalam dunia pendidikan serta persoalan permuafakatan dalam proses pemantapan sistem dan pelaksanaan pendidikan. Persoalan yang dibincangkan merupakan persoalan penting yang sewajarnya difahami, dihayati oleh seluruh warga pendidikan dan mereka yang berkepentingan dalam bidang pendidikan.

Lewat buku ini penulis cuba memberikan pesanan kepada warga pendidikan. Menurut beliau, perubahan yang berlaku dalam pelbagai bidang seperti sosio, ekonomi dan teknologi adalah terlalu pantas dan di luar jangkaan. Keadaan ini sudah pasti akan menjanjikan masa depan yang tidak menentu dan penuh dengan cabaran. Oleh itu, warga pendidikan perlulah bijaksana dalam melihat kembali pegangan dan amalan pendidikan selama ini kerana setiap perubahan walau betapa kecil sekalipun dianggap sangat menyulitkan. Lebih-lebih lagi perubahan yang menyentuh idea-idea, tanggapan dan sikap. Sebab itulah warga pendidikan perlu meningkatkan penghayatan, kesungguhan, komitmen, penyatuan dan penyusunan saf. Dibahu para pendidik jugalah dibebankan amanah besar dalam usaha membangun dan mencipta generasi akan datang.

7.0 10 isu

ISU 1 : DASAR DAN TUJUAN PENDIDIKAN

Salah satu aspek yang menjadi isu dalam buku ini ialah persoalan dasar dan tujuan pendidikan. Persoalan ini dianggap cukup wajar kerana dengan memahami dasar dan tujuan pendidikan , membolehkan warganegara, khususnya golongan yang terlibat dalam bidang pendidikan mempunyai gambaran yang jelas tentang dasar dan hala tuju pendidikan negara. Untuk menjelaskan pandangan ini, penulis telah memetik pandangan Prof. Hanna Holbom Gray (1988) yang menyatakan pendidikan adalah satu isu utama kehidupan manusia. Memikir tentang tujuan-tujuan pendidikan pula bermaksud memikirkan tentang rupa bentuk wajah manusia, jenis ketrampilan dan matlamat yang paling sesuai untuk menjamin kesejahteraan sosial dan kualiti tamadun bangsa.

Nyatalah pendidikan adalah proses “memanusiakan” manusia dalam ertikata yang sebenar. Persoalan ini selaras dengan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang menegaskan bahawa inidividu yang ingin dilahirkan daripada sistem persekolahan negara perlu selaras dengan pembangunan kemanusiaan.

Penegasan tentang dasar dan tujuan pendidikan begitu wajar sekali, kerana dunia pendidikan dan tamadun yang wujud kini dilingkari dengan krisis kemanusiaan yang parah. Penulis kemudiannya mengaitkan dasar dan tujuan pendidikan dengan misi Kementerian Pendidikan (ketika itu) yang menyatakan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik bagi menghasilkan insan yang mempunyai daya ketahanan tinggi dalam memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara.

Penulis juga mengaitkan tujuan pendidikan negara sebagai satu usaha untuk membentuk insan yang holistik yang bukan hanya untuk memenuhi tuntutan dan keperluan gunatenaga dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai tetapi penuh dengan nilai dan disiplin. Di samping itu juga, memerlukan sikap yang positif seperti jujur, dedikasi, mampu berfikir dan bertindak secara bijaksana sama ada secara individu mahupun berkumpulan dengan berlandaskan sumber akhlak yang mulia.

Penegasan tentang tujuan pendidikan ini dijelmakan secara tersurat melalui Falsafah Pendidikan Negara yang menyatakan “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara.”

Nyatalah tujuan pendidikan negara seperti mana yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang baik dan sempurna yang sekaligus menjadi warganegara yang baik. Insan yang dihasratkan tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri seperti yang disimpulkan oleh A.L Ramaiah (1999).

a. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

b. Berilmu pengetahuan

c. Berakhlak mulia

d. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, bangsa dan negara.

e. Mempunyai sahsiah yang seimbang.

Jelasnya pengarang telah berjaya menjelaskan dasar dan tujuan pendidikan dalam tulisannya. Dasar dan tujuan tersebut akhirnya menjadi tapak penting ke arah perubahan dan reformasi pendidikan di negara kita.

ISU KEDUA : REFORMASI PENDIDIKAN – penentuan paksi dan hala tuju.

Penulis menjelaskan bahawa Reformasi Pendidikan merupakan satu usaha yang berterusan ke arah sebarang cadangan perubahan untuk menjurus ke arah pembaikan dalam teori dan amalan pendidikan. Khususnya, reformasi pendidikan merujuk kepada usaha menentukan perubahan-perubahan dalam objektif, matlamat, hala tuju dan visi selaras dengan perkembangan yang wajar supaya berpaksikan kepada sesuatu konsep ilmu dan pendidikan yang sebenar. Reformasi pendidikan perlu dilakukan kerana senario masa depan adalah lebih mencabar daripada masa kini. Oleh itu, disebabkan sistem pendidikan kita yang dinamik, maka ianya perlu berubah dari masa ke semasa untuk menyahut cabaran-cabaran yang berubah.

Perubahan-perubahan dalam sistem pendidikan telah dilaksanakan sejak tahun 60-an lagi. Namun begitu, penentuan mengenai pendekatan reformasi secara lebih menyeluruh dan dengan lebih tersusun lagi telah dilaksanakan setelah pengumuman Laporan Kabinet Mengenai Pelajaran pada tahun 1979 yang menentukan beberapa garis panduan dan tindakan yang lebih teratur merangkumi pelbagai aspek dalam sistem pendidikan negara. Proses reformasi bergerak dengan lebih licin apabila pusingan pertama pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) selesai. Seterusnya proses reformasi ini diikuti dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM).

Reformasi pendidikan dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang wujud dalam sistem pendidikan, di samping bertujuan untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa dan juga kehendak-kehendak masa depan. KBSR dan KBSM telah dirancang berteraskan kepada keperluan-keperluan manusia yang asasi iaitu keperluan-keperluan rohaniah dan jasmaniah. Di atas landasan-landasan ini diusahakan pembangunan sumber manusia yang menyeluruh seimbang dan bersepadu.
Penulis juga menjelaskan bahawa, konsep pembangunan manusia dalam sistem pendidikan negara adalah selaras dengan konsep pembangunan negara bangsa Malaysia ke arah pembentukan negara maju. Intipati pendidikan ialah pembangunan diri mannusia yang komprehensif, seimbang dan sepadu. Demikian juga dengan intipati pembangunan negara-bangsa yang bersifat komprehensif, seimbang dan sepadu seperti yang dihasratkan oleh Y.A.B Perdana Menteri.

Dalam konteks reformasi pendidikan di Malaysia, jelas menunjukkan bahwa Falsafah Pendidikan Negara (FPN) cuba memberikan hala tuju terhadap bentuk insan yang hendak dilahirkan. FPN tidak sahaja menekankan tentang pentingnya potensi akliah seseorang insan itu dimajukan. Di samping itu, penekanan yang sama juga diberi supaya dapat memajukan potensi rohaniah bagi memberikan imbangan yang amat perlu dalam menghadapi cabaran-cabaran yang menggusarkan dunia moden. Sistem pendidikan negara dan reformasi yang berjalan kini mestilah mencerminkan konsep pembangunan dan konsep negara maju ala Malaysia dari segi isi dan bentuknya.

ISU KETIGA : REFORMASI PENDIDIKAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN WAWASAN 2020

Pada hakikatnya wawasan 2020 adalah satu wawasan yang sangat mencabar dan bersifat “futuristic”, dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Kemajuan yang dimaksudkan adalah dalam semua aspek dan dimensi ekonomi , politik,sosial, kerohanian, psikologi dan budaya. Negara maju yang ditanggapi di sini bukan sahaja menjadikan rakyatnya hidup mewah dan aman, tetapi juga berupaya menangani cabaran-cabaran keruntuhan akhlak, nilai moral dan kerohanian serta cabaran sosiobudaya. Kekuatan dalam melahirkan tahap keilmuan yang tinggi dengan disiplin masyarakat yang kukuh dan kuat perlu diperhebatkan.

Secara umumnya, wawasan 2020 adalah satu saranan mengenai cabaran-cabaran yang menyeluruh, tertumpu kepada pembangunan yang berasaskan kepada nilai-nilai berikut:

I. Keadilan ekonomi dan sosial bagi seluruh rakyat Malaysia merentasi golongan dan lapisan masyarakat.
II. Kekuatan daya akal yang bebas dari segala kongkongan transformasi budaya, demokrasi ala Malaysia yang berorientasikan masyarakat yang bersatupadu, mengakui tentang kepelbagaian agama, adab dan budaya yang semestinya berteraskan semangat patriotisme kepada negara sehingga membawa kepada melahirkan masyarakat yang kukuh dengan sifat-sifat kerohanian, akhlak dan moral progresif, dinamik dan saintifik.

Penulis mengingatkan bahawa wawasan 2020 yang disarankan itu bukan hanya menumpu kepada tumpuan yang bercorak makro tetapi dalam wawasan tersebut juga telah disarankan apakah cabaran ekonomi yang dihadapi oleh negara. Dalam mengharungi gelombang persaingan hebat ekonomi di antara negara, banyak telah diperkatakan dalam wawasan itu. Objektif pembangunan negara perlu ditangani dengan bijak, cekap, efisyen dan tegas oleh masyarakat negara di bawah konsep “maju” yang dimaksudkan dalam wawasan tersebut.

Penulis juga menjelaskan bahawa dalam usaha memahami hubungan antara reformasi pendidikan dan wawasan 2020 amat perlu dilihat sama ada ciri-ciri yang signifiken dari segi perbandingan agar tidak terdapat percanggahan antara dasar, reformasi dan wawasan 2020. Jika dilihat secara komparatif, amat jelas bahawa ciri-ciri yang terkandung dalam ketiga-tiga konsep ini selari dan selaras menuju ke arah matlamat yang sama. Contohnya dari segi dasar pendidikan, perlunya sistem pelajaran kebangsaan digubal untuk semua golongan, kaum dan lapisan masyarakat tanpa mengira daerah dan negeri. Dari sejak ia digubal penegasannya adalah bermatlamatkan perpaduan. Dalam hal yang sama, di samping ia membawa perubahan daripada konsep pelajaran kepada konsep pendidikan. Begitu juga halnya dengan wawasan yang menegaskan matlamat kemajuan negara hendaklah berasaskan kepada ciri konsep perpaduan nasional yang kukuh iaitu semangat persaudaraan sebangsa Malaysia yang kukuh ikatannya.

Di samping itu juga, penulis menegaskan bahawa penerapan nilai dalam kurikulum dengan berteraskan kandungan dan aspek-aspek kurikulum yang sama juga adalah selari dengan nilai-nilai teras dan murni yang disarankan dalam Falsafah Pendidikan Negara untuk merentasi semua kurikulum tersebut. Konsep “maju” dalam “acuan” yang dihasratkan dalam wawasan 2020 juga tidak terdapat percanggahan antara nilai-nilai yang berteraskan pembangunan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu serta berasaskan pembangunan ilmu dan intelek kerohanian, jasmani dan emosi.Ternyata bahawa reformasi pendidikan dan wawasan 2020 bukan sahaja selari, malah saling lengkap-melengkapi dan menuju ke satu arah iaitu satu bangsa Malaysia yang maju, bermaruah dan beridentiti.

ISU KEEMPAT : NILAI MURNI DALAM SISTEM PENDIDIKAN

Salah satu perkara yang difokuskan dalam buku ini ialah persoalan nilai. Hal ini adalah wajar kerana persoalan nilai merupakan unsur yang sentiasa wujud dalam mana-mana sistem pendidikan sama ada ianya dinyatakan secara tersurat atau pun tersirat. Dalam hal ini penulis mengaitkan persoalan nilai dengan reformasi pendidikan dan juga Falsafah Pendidikan Negara. Penulis dengan tegas mengaitkan persoalan nilai dengan peranan pendidikan, falsafah pendidikan dan matlamat pendidikan negara di samping mengetengahkan dan menghuraikan maksud nilai murni. Nilai murni adalah tanggapan mengenai perkara-perkara yang baik, mulia dan tetap. Nilai ini dianggap sebagai nilai-nilai yang luhur dan nilai yang disebaliknya dianggap sebagai nilai yang tidak kudus.”

Dengan mengambilkira realiti keMalaysiaan yang majmuk sebanyak 16 nilai asasi yang bersifat universal dan boleh diterima oleh semua pihak. Nilai-nilai utama tersebut ialah baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan semangat bermasayarakat. Penulis juga menegaskan matlamat penerapan nilai murni dalam pendidikan adalah untuk melahirkan insan dan warganegara yang baik serta memiliki akhlak yang mulia.
Penulis juga menerangkan objektif nilai murni ini dalam sistem pendidikan bagi menanam rasa kesedaran, kefahaman, keyakinan, kesyukuran, cintakan ilmu, menghormati kebaikan, membenci keburukan, membentuk sikap positif dan berguna kepada agama dan bangsa. Sewaktu menjalankan tugas serta tanggungjawab dan menghapuskan sikap negatif dalam kehidupan, menjalankan amanah dengan dedikasi, melatih diri dengan disiplin, meningkatkan produktiviti serta berusaha mencapai kecemerlangan.

Realisasi nilai murni dalam pendidikan dizahirkan melalui KBSR yang mengaitkan persoalan dan pemupukan nilai ini dalam objektif kurikulumnya. Antaranya membina sikap dan perlakuan yang baik berpandukan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian yang diterima dan dihargai oleh masyarakat berlandaskan Rukun Negara serta menjadi asas amalan hidup.

Dalam konteks sekolah menengah, KBSM telah digubal dan nilai murni telah dimasukkan sebagai salah satu prinsip dari enam prinsip KBSM yang antara lain menyebut: “Penerapan nilai-nilai murni dilakukan dengan menyeluruh melalui semua mata pelajaran KBSM. Pendekatan ini dikenali sebagai nilai murni merentas kurikulum. Di samping itu, pelajaran nilai murni secara khusus terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Islam bagi pelajar muslim dan mata pelajaran Pendidikan Moral bagi pelajar bukan muslim.” (Shahril @ Charil Marzuki dan Habib Mat Som, 1999).

ISU KELIMA : PENDIDIKAN ISLAM DALAM KONTEKS PENDIDIKAN NEGARA.

Untuk memenuhi hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara, Pendidikan Islam dikatakan mempunyai kedudukan yang tersendiri. Ini berkaitan dengan unsur nilai yang menjadi salah satu prinsip dalam falasafah pendidikan di samping status Islam sebagai agama rasmi negara. Dalam buku ini penulis memberikan perhatian yang khusus tentang Pendidikan Islam dalam bab yang diberi tajuk “Wawasan Pendidikan Islam Dalam Menangani Era 2020: Tasawur dan Strategi.”

Penulis mengajak pembaca melihat Pendidikan Islam dalam konteks arus perdana pendidikan negara. Penulis menjelaskan senario pendidikan, masalah semasa dan masa depan tamadun manusia serta kaitannya dengan agama, khususnya agama Islam. Penulis juga menjelaskan dua isu utama yang ada kaitan langsung dengan Pendidikan Islam iaitu persoalan pendidikan sekolah berorientasikan Islam dan peranan Islam dalam pemantapan disiplin-disiplin ilmu yang lain.

Pendidikan Islam sebagai satu disiplin ilmu perlu menampilkan dirinya dari tasawur Islam yang sebenarnya iaitu bersifat sepadu dan menyeluruh yang mampu memberikan kesan dan kekuatan yang menyeluruh. Ini merangkumi aspek aqidah, ilmu, sosial, politik, ekonomi, psikologi dan budaya. Dalam aspek ini ia memerlukan penggubalan semula kurikulum Pendidikan Islam agar ia diadun dengan seimbang dan lengkap antara ilmu agama, ilmu kemanusiaan dan sains. Pemantapan pendidikan Islam dari sudut ini melibatkan kurikulum, bahan, guru, latihan, penilaian dan sebagainya. Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh tokoh-tokoh pendidikan Islam yang lain seperti Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan, Prof. Dr. Mohd. Naquib al-Attas dan lain-lain lagi.

Di samping persoalan di atas, penulis juga menjelaskan bagaimana unsur dan nilai Islam sepatutnya berperanan agar semua yang diajar selaras dengan semangat Islam. Ini yang disebut sebagai “Islamisasi Ilmu”, yang melibatkan proses-proses pembetulan, reorientasi, penyelarasan dan kesepaduan. Seterusnya penulis menyarankan perlunya penyemakan semula bahan, “buku agama” dan “buku bukan agama”, agar berasaskan paksi tauhid. Di samping itu, pendidikan perlu memahami dan menghayati falsafah, konsep serta pendekatan dalam pendidikan.

Untuk memantapkan lagi pemupukan nilai Islam, menurut penulis ianya melibatkan budaya sekolah. Menurutnya lagi, budaya sekolah yang baik termasuklah pemupukan kecintaan terhadap ilmu, perhubungan, interaksi sosial yang harmonis dan penuh adab, disiplin yang cemerlang serta pelaksanaan amalan cara hidup yang bernafaskan Islam. Dengan cara itu diharapkan pendidikan Islam dalam konteksnya sebagai sistem dan disiplin ilmu dapat hidup dan berkembang dengan mengambilkira cabaran dan tuntutan zaman. Di samping itu mempengaruhi disiplin dan iklim pendidikan dari sudut yang lain. Kefahaman dan penghayatan pendidikan Islam yang sedemikan akan terus dianggap sebagai satu keperluan bukannya sebagai satu cabaran kepada mana-mana pihak sekalipun.

ISU 6 : PENDIDIKAN BERSEPADU.

Pendidikan Bersepadu merupakan landasan yang dibina atas harapan saling melengkapi antara penyataan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dengan hasrat murni Wawasan 2020. Walaupun pada awalnya konsep pendidikan ini hanya diterapkan kepada pelajar tahap kedua persekolahan yang dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), namun akhirnya ia disebarluaskan menjangkau seluruh tingkat pendidikan. Menurut penulis, isi utama pendidikan yang bersepadu ini adalah selaras dengan proses kejadian insan ke dunia ini. Kita maklum setiap insan yang lahir di muka bumi Allah telah dilengkapi dengan nilai-nilai kerohanian yang dibaluti pula dengan unsur jasmaniah.

Namun begitu menurut penulis ditinjau daripada perspektif pendidikan, kerangka pendidikan bersepadu tersebut akan merangkumi tiga dimensi kehidupan individu iaitu penumpuan terhadp perkembangan: JASMANI, ROHANI, dan INTELEK. Rasanya lebih lengkap jika ditambah aspek keempat iaitu unsur EMOSI. Maka lengkap empat komponen yang meliputi setiap insan. Pendidikan sebagai mediumnya, keempat-empat dimensi itu akan disemai kedalam setiap individu lantas digilap agar dapat membentuk insan yang benar-benar utuh.

Selaras dengan itu penulis mengutarakan tiga bidang ilmu yang utama terkandung di dalam kerangka konsep Pendidikan Bersepadu ini. Bidang ilmu itu adalah;

1. Ilmu Keagamaan (Religious Sciences), yang menjurus kepada penerapan nilai-nilai ke arah menjalin hubungan antara insan dengan Penciptanya.

2. Ilmu Kemanusiaan (Human Sciences), yang menghalakan fokus terhadap soal-soal berkisar bentuk hubungan sesama manusia.

3. Ilmu Sains Tabie (Natural Sciences), merupakan disiplin ilmu menjelaskan bagaimana manusia boleh menjalin hubungan dengan alam sekitarnya.

Berdasarkan tiga dimensi ilmu yang tersebut, penulis yakin inilah acuan yang dapat melahirkan insan yang kamil hasil penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan akhlak. Selanjutnya Pendidikan Bersepadu yang sedemikian rupa arah tuju dan dasarnya perlu juga dilaksanakan secara bersepadu, ini melibatkan penggemblengan tenaga dan kepakaran semua pihak yang meliputi Kementerian Pendidikan,Guru,Ibu bapa dan Komuniti. Kesepaduan perlaksanaan ini menunjukkan kesepakatan yang dinamakan oleh penulis sebagai “Rangkaian Muafakat Pendidikan”.

ISU 7 : GURU DAN PERGURUAN

Sejak kebelakang ini semakin jelas kedengaran tuntutan-tuntutan dari pelbagai pihak terhadap perlunya ditingkatkan mutu pendidikan . Secara tidak langsung harapan tersebut menuntut agar golongan guru bersedia dengan tahap perkhidmatan yang lebih cemerlang. Selaras dengan itu para pendidik disarankan agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada pengetahuan secara umum atau ilmu profesional keguruan. Ini bertujuan agar guru dapat bergerak seiring dengan perkembangan masyarakat globalisasi.

Menurut penulis, dalam menangani perubahan semasa, sistem pendidikan sewajarnya bermula daripada perubahan kendiri. Ini bermakna para guru dapatlah mengubah sikap, gaya kerja dan ‘world-view’. Setiap guru hendaklah bersifat fleksibel dan dinamik selari dengan perubahan bersifat futuristik.Lantas guru mestilah pula sanggup menerima sebarang kritikan kerana kesan kritikan akan mewujudkan azam untuk berjaya. Malah juga guru perlu bersedia mengubah amalan-amalan tradisi di samping bersikap sensitif terhadap realiti persekitarannya.

Era globalisasi ini menghendaki guru bergerak selaras dengan perkembangan ilmu pengetahuan maklumat dan teknologi pemikiran yang dikenali dengan konsep ‘Literacy Numeral Informacy’ yang seterusnya dapat digarap ke dalam kaedah pendidikan . Di samping itu, guru diharapkan sentiasa lebih menekankan kepada aspek ketrampilan kognitif. Aspek ini dijangkakan dapat melahirkan manusia berada pada tahap tertinggi dalam tamadun keilmuan. Bagi mencapai tujuan demikian guru diarahkan menitikberatkan bentuk-bentuk latihan berasaskan akal.

Menurut penulis lagi guru bukan lagi hanya berfungsi sebagai penyalin acuan budaya dari satu generasi kegenerasi baru. Namun sepatutnya lebih bertanggungjawab sebagai penterjemah pengertian baru dalam budaya tersebut agar pelajar tidak terpesong daripada arus budaya dan nilai-nilai warisan. Semua usaha ini hendaklah berasaskan landasan yang dibina berdasar visi dan misi sekolah sejajar dengan budaya masyarakat umum.

Dalam keadaan masyarakat yang kian berkembang serentak dengan perkembangan sains dan teknologi , tugas guru bukan lagi setakat menzahirkan proses P&P. Sebaliknya seseorang guru sepatutnya bersedia berperanan sebagai fasilatator, penyelesai masalah dan pemangkin kejayaan pembelajaran. Lantas perancangan dalam sistem pendidikan seharusnya diganjakkan daripada pembelajaran yang berpusat kepada guru kepada pembelajaran yang berpusat kepada murid. Namun golongan guru juga harus berani memperkembangkan diri ke arah bentuk “self-directed” dan “self-reliant”.

Akhirnya bagi menyahut cabaran-cabaran sedemikian, guru haruslah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tugasnya. Lantaran itu seseorang guru semestinya sedar tugas sebagai pendidik itu adalah hadiah yang diamanahkan oleh Allah S.W.T. Penghayatan yang sedemikian rupa akan melahirkan kecemerlangan dalam diri yang selanjutnya merubah keluhuran peribadi guru dan kekesanannya dalam pengajaran.Implikasinya wujud pula kecemerlangan pendidikan dan tercapailah hasrat membentuk negara yang maju.

ISU 8 : PENTADBIRAN PENDIDIKAN ALAF BARU

Pentadbiran pendidikan adalah bermula dari peringkat paling bawah iaitu guru(bilik darjah), pengetua(sekolah) dan pegawai pendidikan di peringkat daerah,negeri dan kementerian. Memasuki alaf baru ini, selaras dengan perkembangan dalam arus perubahan masyarakat khususnya bidang kependidikan, maka pihak terlibat dengan pentadbiran pendidikan mestilah juga turut sama berubah. Berhubungan dengan ini perkhidmatan pendidikan memerlukan pentadbiran yang dapat melepaskan diri daripada kepompong yang mengikat “status-quo” yang sudak lapuk dan usang.

Pengurusan dan pentadbiran seharusnya boleh berfungsi sebagai pemimpin yang dapat mencetuskan usaha-usaha dalam keberkesanan pengurusan dan pendidikan dengan sentiasa melakukan inovasi. Kalangan guru tidak harus terikat dengan proses pembelajaran dan pengajaran yang terlalu terkongkong dengan penjadualan kaku atau proses pengajaran yang menepati skrip Buku Rekod Mengajar yang terlalu rigid.

Sebaliknya setiap guru harus dibiarkan berani mempelbagaikan kaedah dengan memadukan pemikran yang kreatif dan berinovatif. Dalam masa yang sama pihak pentadbir sewajarnya menerima perubahan tersebut dengan menzahirkan perhargaan terhadap setiap perubahan yang dibuat oleh stafnya tanpa diiringi persoalan yang remeh yang merujuk manual kerja sebagaimana dalam sistem kerja sedia ada.

Selanjutnya penulis telah mencadangkan agar pemimpin-pemimpin pendidikan dapat membentuk daya kerja secara berpasukan. Kejelekitan (cohesiveness) yang terbentuk antara guru-guru, guru-pengetua dan guru-masyarakat, akan menghasilkan proses pengemblengan tenaga dan penyatuan idea yang bernas. Di samping itu proses tersebut akan menjadikan keadaan lebih telus terhadap kritikan-kritikan yang dilontarkan ke arah pentadbiran pendidikan. Hal sedemikian seterusnya dapat meningkatkan pula kualiti pendidikan.

Namun begitu, pentadbir pendidikan juga seharusnya berkeupayaan mengaplikasikan toeri pengurusan “SWOT”. Mereka perlu mengenalpasti kekuatan yang ada dan menangani kelemahan bagi mengimbangi hambatan yang cuba menghalang kejayaan. Dalam masa yang sama peluang-peluag yang ada harus direbut sepenuhnya.. Bagi tujuan sedemikian, pihak pentadbir hendaklah menganalisis murid, guru/staf, dan persekitaran yang dihubungkaitkan dengan elemen di atas. Kemudian maklumat tersebut dipungut dan diproses untuk merumus, merencana visi dan misi pendidikan ke arah hala tuju yang lebih jelas dan dapat difahami oleh semua warga pendidikan.

Bagi mencapai hasrat tersebut setiap anggota pentadbir sepatutnya sudah menjalani frasa anjakan paradigma dariapada pendekatan mengurus kepada pendekatan memimpin. Sesungguhnya seseorang pentadbir bidang pendidikan merupakan pemimpin yang baik, dihromati, efisyen serta memiliki ilmu pengetahuan meluas selaras dengan sifat pengurusan semakin kompleks masa kini.

Perkara seterusnya perlu dimiliki pemimpin pendidikan iaitu sahsiah dan akhlak yang baik agar dapat diteladani oleh subordinat. Pentadbir yang berkesan harus memiliki sikap berani mencuba dan saggup menanggung risiko. Sifat-sifat ini penting bagi mendorong penerokaan bidang baru dalam pendidikan. Institusi pendidikan sangat memerlukan pentadbir yang merupakan pemimpin yang berkualiti. Stail kepemimpinan yang dinamis dan bersikap terbuka akan merangsang motivasi kepada seluruh staf.. Akhirnya kualiti dan imej pendidikan yang gemilang akan dapat dijana.

No comments:

Post a Comment