KANDUNGAN
1. Tajuk Buku
2. Penulis
3. Tahun Di Terbitkan
4. Nama Penerbit
5. Isi / Kandungan
6. Sinopsis
7. 10 isu
8. Penutup
1.0 Tajuk Buku : WAWASAN PENDIDIKAN - Agenda Pengisian
2.0 Penulis : Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin
3.0 Tahun di terbitkan : 1993 cetakan ketiga 1994
4.0 Nama Penerbit : Cahaya Pantai Publishing (M) Sdn. Bhd. Kuala Lumpur
5.0 Isi / Kandungan buku
Prakata
Kata Pengantar
1. Pengisian Wawasan Pendidikan
2. Wawasan Pendidikan Dalam Menangani Era 2020 : Tasawur dan Strategi
3. Reformasi Pendidikan dan Pembangunan Tenaga Manusia Bagi Menghadapi Cabaran
Wawasan 2020
4. Guru dan Kejayaan Wawasan
5. Keguruan menjelang Abad ke – 21 Cabaran dan Hadapan
6. Wawasan 2020 : Peranan Kepimpinan Pendidikan
7. Pengurusan dan Budaya Kerja
8. Wawasan 2020 dan Pendidikan Pembinaan Usaha Muafakat
9. Ke Arah Pelaksanaan Nilai-nilai Murni Dalam KBSM :
Falsafah Pendidikan Negara
Bibliografi
Indeks
6.0 Sinopsis
Buku
“Wawasan Pendidikan : agenda pengisian” ini direncanakan khusus untuk
memenuhi perkembangan dunia pendidikan sesuai dengan pengalaman luas
penulis dalam bidang tersebut. Buku ini merupakan karya penting yang
dihasilkan oleh pemikir, tokoh, serta pentadbir pendidikan yang
berwibawa. Gabungan pengalaman dan ilmu serta kepakaran dalam bidang
pendidikan di samping terlibat secara langsung dalam penyelidikan,
pengajaran dan perancangan dunia pendidikan tanahair membolehkan beliau
mencurahkan ilmu secara meluas dan mantap. Buku ini membicarakan
persoalan-persoalan asas dan pokok yang melibatkan wawasan, cabaran dan
persiapan dalam dunia pendidikan.
Melalui sembilan bab dengan 20
buah rujukan asas, penulis telah membicarakan persoalan-persoalan dasar
dan tujuan pendidikan, persoalan reformasi pendidikan, nilai murni dan
pendidikan Islam, persoalan guru dan keguruan, persoalan kepimpinan
pendidikan, budaya kerja dalam dunia pendidikan serta persoalan
permuafakatan dalam proses pemantapan sistem dan pelaksanaan pendidikan.
Persoalan yang dibincangkan merupakan persoalan penting yang sewajarnya
difahami, dihayati oleh seluruh warga pendidikan dan mereka yang
berkepentingan dalam bidang pendidikan.
Lewat buku ini penulis
cuba memberikan pesanan kepada warga pendidikan. Menurut beliau,
perubahan yang berlaku dalam pelbagai bidang seperti sosio, ekonomi dan
teknologi adalah terlalu pantas dan di luar jangkaan. Keadaan ini sudah
pasti akan menjanjikan masa depan yang tidak menentu dan penuh dengan
cabaran. Oleh itu, warga pendidikan perlulah bijaksana dalam melihat
kembali pegangan dan amalan pendidikan selama ini kerana setiap
perubahan walau betapa kecil sekalipun dianggap sangat menyulitkan.
Lebih-lebih lagi perubahan yang menyentuh idea-idea, tanggapan dan
sikap. Sebab itulah warga pendidikan perlu meningkatkan penghayatan,
kesungguhan, komitmen, penyatuan dan penyusunan saf. Dibahu para
pendidik jugalah dibebankan amanah besar dalam usaha membangun dan
mencipta generasi akan datang.
7.0 10 isu
ISU 1 : DASAR DAN TUJUAN PENDIDIKAN
Salah
satu aspek yang menjadi isu dalam buku ini ialah persoalan dasar dan
tujuan pendidikan. Persoalan ini dianggap cukup wajar kerana dengan
memahami dasar dan tujuan pendidikan , membolehkan warganegara,
khususnya golongan yang terlibat dalam bidang pendidikan mempunyai
gambaran yang jelas tentang dasar dan hala tuju pendidikan negara.
Untuk menjelaskan pandangan ini, penulis telah memetik pandangan Prof.
Hanna Holbom Gray (1988) yang menyatakan pendidikan adalah satu isu
utama kehidupan manusia. Memikir tentang tujuan-tujuan pendidikan pula
bermaksud memikirkan tentang rupa bentuk wajah manusia, jenis
ketrampilan dan matlamat yang paling sesuai untuk menjamin kesejahteraan
sosial dan kualiti tamadun bangsa.
Nyatalah pendidikan adalah
proses “memanusiakan” manusia dalam ertikata yang sebenar. Persoalan ini
selaras dengan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang menegaskan bahawa
inidividu yang ingin dilahirkan daripada sistem persekolahan negara
perlu selaras dengan pembangunan kemanusiaan.
Penegasan tentang
dasar dan tujuan pendidikan begitu wajar sekali, kerana dunia pendidikan
dan tamadun yang wujud kini dilingkari dengan krisis kemanusiaan yang
parah. Penulis kemudiannya mengaitkan dasar dan tujuan pendidikan dengan
misi Kementerian Pendidikan (ketika itu) yang menyatakan untuk
mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik bagi menghasilkan insan yang
mempunyai daya ketahanan tinggi dalam memenuhi aspirasi dan kehendak
individu, masyarakat dan negara.
Penulis juga mengaitkan tujuan
pendidikan negara sebagai satu usaha untuk membentuk insan yang holistik
yang bukan hanya untuk memenuhi tuntutan dan keperluan gunatenaga
dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai tetapi penuh dengan nilai dan
disiplin. Di samping itu juga, memerlukan sikap yang positif seperti
jujur, dedikasi, mampu berfikir dan bertindak secara bijaksana sama ada
secara individu mahupun berkumpulan dengan berlandaskan sumber akhlak
yang mulia.
Penegasan tentang tujuan pendidikan ini dijelmakan
secara tersurat melalui Falsafah Pendidikan Negara yang menyatakan
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani dan
jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat
serta negara.”
Nyatalah tujuan pendidikan negara seperti mana
yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan
yang baik dan sempurna yang sekaligus menjadi warganegara yang baik.
Insan yang dihasratkan tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri
seperti yang disimpulkan oleh A.L Ramaiah (1999).
a. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
b. Berilmu pengetahuan
c. Berakhlak mulia
d. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, bangsa dan negara.
e. Mempunyai sahsiah yang seimbang.
Jelasnya
pengarang telah berjaya menjelaskan dasar dan tujuan pendidikan dalam
tulisannya. Dasar dan tujuan tersebut akhirnya menjadi tapak penting ke
arah perubahan dan reformasi pendidikan di negara kita.
ISU KEDUA : REFORMASI PENDIDIKAN – penentuan paksi dan hala tuju.
Penulis
menjelaskan bahawa Reformasi Pendidikan merupakan satu usaha yang
berterusan ke arah sebarang cadangan perubahan untuk menjurus ke arah
pembaikan dalam teori dan amalan pendidikan. Khususnya, reformasi
pendidikan merujuk kepada usaha menentukan perubahan-perubahan dalam
objektif, matlamat, hala tuju dan visi selaras dengan perkembangan yang
wajar supaya berpaksikan kepada sesuatu konsep ilmu dan pendidikan yang
sebenar. Reformasi pendidikan perlu dilakukan kerana senario masa depan
adalah lebih mencabar daripada masa kini. Oleh itu, disebabkan sistem
pendidikan kita yang dinamik, maka ianya perlu berubah dari masa ke
semasa untuk menyahut cabaran-cabaran yang berubah.
Perubahan-perubahan
dalam sistem pendidikan telah dilaksanakan sejak tahun 60-an lagi.
Namun begitu, penentuan mengenai pendekatan reformasi secara lebih
menyeluruh dan dengan lebih tersusun lagi telah dilaksanakan setelah
pengumuman Laporan Kabinet Mengenai Pelajaran pada tahun 1979 yang
menentukan beberapa garis panduan dan tindakan yang lebih teratur
merangkumi pelbagai aspek dalam sistem pendidikan negara. Proses
reformasi bergerak dengan lebih licin apabila pusingan pertama
pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) selesai. Seterusnya
proses reformasi ini diikuti dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah
Menengah (KBSM).
Reformasi pendidikan dilaksanakan untuk
mengatasi kelemahan-kelemahan yang wujud dalam sistem pendidikan, di
samping bertujuan untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa dan juga
kehendak-kehendak masa depan. KBSR dan KBSM telah dirancang berteraskan
kepada keperluan-keperluan manusia yang asasi iaitu keperluan-keperluan
rohaniah dan jasmaniah. Di atas landasan-landasan ini diusahakan
pembangunan sumber manusia yang menyeluruh seimbang dan bersepadu.
Penulis
juga menjelaskan bahawa, konsep pembangunan manusia dalam sistem
pendidikan negara adalah selaras dengan konsep pembangunan negara bangsa
Malaysia ke arah pembentukan negara maju. Intipati pendidikan ialah
pembangunan diri mannusia yang komprehensif, seimbang dan sepadu.
Demikian juga dengan intipati pembangunan negara-bangsa yang bersifat
komprehensif, seimbang dan sepadu seperti yang dihasratkan oleh Y.A.B
Perdana Menteri.
Dalam konteks reformasi pendidikan di Malaysia,
jelas menunjukkan bahwa Falsafah Pendidikan Negara (FPN) cuba memberikan
hala tuju terhadap bentuk insan yang hendak dilahirkan. FPN tidak
sahaja menekankan tentang pentingnya potensi akliah seseorang insan itu
dimajukan. Di samping itu, penekanan yang sama juga diberi supaya dapat
memajukan potensi rohaniah bagi memberikan imbangan yang amat perlu
dalam menghadapi cabaran-cabaran yang menggusarkan dunia moden. Sistem
pendidikan negara dan reformasi yang berjalan kini mestilah mencerminkan
konsep pembangunan dan konsep negara maju ala Malaysia dari segi isi
dan bentuknya.
ISU KETIGA : REFORMASI PENDIDIKAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN WAWASAN 2020
Pada
hakikatnya wawasan 2020 adalah satu wawasan yang sangat mencabar dan
bersifat “futuristic”, dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara maju. Kemajuan yang dimaksudkan adalah dalam semua aspek
dan dimensi ekonomi , politik,sosial, kerohanian, psikologi dan budaya.
Negara maju yang ditanggapi di sini bukan sahaja menjadikan rakyatnya
hidup mewah dan aman, tetapi juga berupaya menangani cabaran-cabaran
keruntuhan akhlak, nilai moral dan kerohanian serta cabaran sosiobudaya.
Kekuatan dalam melahirkan tahap keilmuan yang tinggi dengan disiplin
masyarakat yang kukuh dan kuat perlu diperhebatkan.
Secara
umumnya, wawasan 2020 adalah satu saranan mengenai cabaran-cabaran yang
menyeluruh, tertumpu kepada pembangunan yang berasaskan kepada
nilai-nilai berikut:
I. Keadilan ekonomi dan sosial bagi seluruh rakyat Malaysia merentasi golongan dan lapisan masyarakat.
II.
Kekuatan daya akal yang bebas dari segala kongkongan transformasi
budaya, demokrasi ala Malaysia yang berorientasikan masyarakat yang
bersatupadu, mengakui tentang kepelbagaian agama, adab dan budaya yang
semestinya berteraskan semangat patriotisme kepada negara sehingga
membawa kepada melahirkan masyarakat yang kukuh dengan sifat-sifat
kerohanian, akhlak dan moral progresif, dinamik dan saintifik.
Penulis
mengingatkan bahawa wawasan 2020 yang disarankan itu bukan hanya
menumpu kepada tumpuan yang bercorak makro tetapi dalam wawasan
tersebut juga telah disarankan apakah cabaran ekonomi yang dihadapi oleh
negara. Dalam mengharungi gelombang persaingan hebat ekonomi di antara
negara, banyak telah diperkatakan dalam wawasan itu. Objektif
pembangunan negara perlu ditangani dengan bijak, cekap, efisyen dan
tegas oleh masyarakat negara di bawah konsep “maju” yang dimaksudkan
dalam wawasan tersebut.
Penulis juga menjelaskan bahawa dalam
usaha memahami hubungan antara reformasi pendidikan dan wawasan 2020
amat perlu dilihat sama ada ciri-ciri yang signifiken dari segi
perbandingan agar tidak terdapat percanggahan antara dasar, reformasi
dan wawasan 2020. Jika dilihat secara komparatif, amat jelas bahawa
ciri-ciri yang terkandung dalam ketiga-tiga konsep ini selari dan
selaras menuju ke arah matlamat yang sama. Contohnya dari segi dasar
pendidikan, perlunya sistem pelajaran kebangsaan digubal untuk semua
golongan, kaum dan lapisan masyarakat tanpa mengira daerah dan negeri.
Dari sejak ia digubal penegasannya adalah bermatlamatkan perpaduan.
Dalam hal yang sama, di samping ia membawa perubahan daripada konsep
pelajaran kepada konsep pendidikan. Begitu juga halnya dengan wawasan
yang menegaskan matlamat kemajuan negara hendaklah berasaskan kepada
ciri konsep perpaduan nasional yang kukuh iaitu semangat persaudaraan
sebangsa Malaysia yang kukuh ikatannya.
Di samping itu juga,
penulis menegaskan bahawa penerapan nilai dalam kurikulum dengan
berteraskan kandungan dan aspek-aspek kurikulum yang sama juga adalah
selari dengan nilai-nilai teras dan murni yang disarankan dalam Falsafah
Pendidikan Negara untuk merentasi semua kurikulum tersebut. Konsep
“maju” dalam “acuan” yang dihasratkan dalam wawasan 2020 juga tidak
terdapat percanggahan antara nilai-nilai yang berteraskan pembangunan
yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu serta berasaskan pembangunan
ilmu dan intelek kerohanian, jasmani dan emosi.Ternyata bahawa reformasi
pendidikan dan wawasan 2020 bukan sahaja selari, malah saling
lengkap-melengkapi dan menuju ke satu arah iaitu satu bangsa Malaysia
yang maju, bermaruah dan beridentiti.
ISU KEEMPAT : NILAI MURNI DALAM SISTEM PENDIDIKAN
Salah
satu perkara yang difokuskan dalam buku ini ialah persoalan nilai. Hal
ini adalah wajar kerana persoalan nilai merupakan unsur yang sentiasa
wujud dalam mana-mana sistem pendidikan sama ada ianya dinyatakan secara
tersurat atau pun tersirat. Dalam hal ini penulis mengaitkan persoalan
nilai dengan reformasi pendidikan dan juga Falsafah Pendidikan Negara.
Penulis dengan tegas mengaitkan persoalan nilai dengan peranan
pendidikan, falsafah pendidikan dan matlamat pendidikan negara di
samping mengetengahkan dan menghuraikan maksud nilai murni. Nilai murni
adalah tanggapan mengenai perkara-perkara yang baik, mulia dan tetap.
Nilai ini dianggap sebagai nilai-nilai yang luhur dan nilai yang
disebaliknya dianggap sebagai nilai yang tidak kudus.”
Dengan
mengambilkira realiti keMalaysiaan yang majmuk sebanyak 16 nilai asasi
yang bersifat universal dan boleh diterima oleh semua pihak. Nilai-nilai
utama tersebut ialah baik hati, berdikari, berhemah tinggi,
hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian,
kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerjasama, kesederhanaan,
kesyukuran, rasional dan semangat bermasayarakat. Penulis juga
menegaskan matlamat penerapan nilai murni dalam pendidikan adalah untuk
melahirkan insan dan warganegara yang baik serta memiliki akhlak yang
mulia.
Penulis juga menerangkan objektif nilai murni ini dalam sistem
pendidikan bagi menanam rasa kesedaran, kefahaman, keyakinan,
kesyukuran, cintakan ilmu, menghormati kebaikan, membenci keburukan,
membentuk sikap positif dan berguna kepada agama dan bangsa. Sewaktu
menjalankan tugas serta tanggungjawab dan menghapuskan sikap negatif
dalam kehidupan, menjalankan amanah dengan dedikasi, melatih diri dengan
disiplin, meningkatkan produktiviti serta berusaha mencapai
kecemerlangan.
Realisasi nilai murni dalam pendidikan dizahirkan
melalui KBSR yang mengaitkan persoalan dan pemupukan nilai ini dalam
objektif kurikulumnya. Antaranya membina sikap dan perlakuan yang baik
berpandukan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohanian yang diterima dan
dihargai oleh masyarakat berlandaskan Rukun Negara serta menjadi asas
amalan hidup.
Dalam konteks sekolah menengah, KBSM telah digubal
dan nilai murni telah dimasukkan sebagai salah satu prinsip dari enam
prinsip KBSM yang antara lain menyebut: “Penerapan nilai-nilai murni
dilakukan dengan menyeluruh melalui semua mata pelajaran KBSM.
Pendekatan ini dikenali sebagai nilai murni merentas kurikulum. Di
samping itu, pelajaran nilai murni secara khusus terkandung dalam mata
pelajaran Pendidikan Islam bagi pelajar muslim dan mata pelajaran
Pendidikan Moral bagi pelajar bukan muslim.” (Shahril @ Charil Marzuki
dan Habib Mat Som, 1999).
ISU KELIMA : PENDIDIKAN ISLAM DALAM KONTEKS PENDIDIKAN NEGARA.
Untuk
memenuhi hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara, Pendidikan Islam
dikatakan mempunyai kedudukan yang tersendiri. Ini berkaitan dengan
unsur nilai yang menjadi salah satu prinsip dalam falasafah pendidikan
di samping status Islam sebagai agama rasmi negara. Dalam buku ini
penulis memberikan perhatian yang khusus tentang Pendidikan Islam dalam
bab yang diberi tajuk “Wawasan Pendidikan Islam Dalam Menangani Era
2020: Tasawur dan Strategi.”
Penulis mengajak pembaca melihat
Pendidikan Islam dalam konteks arus perdana pendidikan negara. Penulis
menjelaskan senario pendidikan, masalah semasa dan masa depan tamadun
manusia serta kaitannya dengan agama, khususnya agama Islam. Penulis
juga menjelaskan dua isu utama yang ada kaitan langsung dengan
Pendidikan Islam iaitu persoalan pendidikan sekolah berorientasikan
Islam dan peranan Islam dalam pemantapan disiplin-disiplin ilmu yang
lain.
Pendidikan Islam sebagai satu disiplin ilmu perlu
menampilkan dirinya dari tasawur Islam yang sebenarnya iaitu bersifat
sepadu dan menyeluruh yang mampu memberikan kesan dan kekuatan yang
menyeluruh. Ini merangkumi aspek aqidah, ilmu, sosial, politik, ekonomi,
psikologi dan budaya. Dalam aspek ini ia memerlukan penggubalan semula
kurikulum Pendidikan Islam agar ia diadun dengan seimbang dan lengkap
antara ilmu agama, ilmu kemanusiaan dan sains. Pemantapan pendidikan
Islam dari sudut ini melibatkan kurikulum, bahan, guru, latihan,
penilaian dan sebagainya. Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh
tokoh-tokoh pendidikan Islam yang lain seperti Prof. Dr. Muhammad Kamal
Hassan, Prof. Dr. Mohd. Naquib al-Attas dan lain-lain lagi.
Di
samping persoalan di atas, penulis juga menjelaskan bagaimana unsur dan
nilai Islam sepatutnya berperanan agar semua yang diajar selaras dengan
semangat Islam. Ini yang disebut sebagai “Islamisasi Ilmu”, yang
melibatkan proses-proses pembetulan, reorientasi, penyelarasan dan
kesepaduan. Seterusnya penulis menyarankan perlunya penyemakan semula
bahan, “buku agama” dan “buku bukan agama”, agar berasaskan paksi
tauhid. Di samping itu, pendidikan perlu memahami dan menghayati
falsafah, konsep serta pendekatan dalam pendidikan.
Untuk
memantapkan lagi pemupukan nilai Islam, menurut penulis ianya melibatkan
budaya sekolah. Menurutnya lagi, budaya sekolah yang baik termasuklah
pemupukan kecintaan terhadap ilmu, perhubungan, interaksi sosial yang
harmonis dan penuh adab, disiplin yang cemerlang serta pelaksanaan
amalan cara hidup yang bernafaskan Islam. Dengan cara itu diharapkan
pendidikan Islam dalam konteksnya sebagai sistem dan disiplin ilmu dapat
hidup dan berkembang dengan mengambilkira cabaran dan tuntutan zaman.
Di samping itu mempengaruhi disiplin dan iklim pendidikan dari sudut
yang lain. Kefahaman dan penghayatan pendidikan Islam yang sedemikan
akan terus dianggap sebagai satu keperluan bukannya sebagai satu cabaran
kepada mana-mana pihak sekalipun.
ISU 6 : PENDIDIKAN BERSEPADU.
Pendidikan
Bersepadu merupakan landasan yang dibina atas harapan saling melengkapi
antara penyataan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dengan hasrat murni
Wawasan 2020. Walaupun pada awalnya konsep pendidikan ini hanya
diterapkan kepada pelajar tahap kedua persekolahan yang dikenali sebagai
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), namun akhirnya ia
disebarluaskan menjangkau seluruh tingkat pendidikan. Menurut penulis,
isi utama pendidikan yang bersepadu ini adalah selaras dengan proses
kejadian insan ke dunia ini. Kita maklum setiap insan yang lahir di muka
bumi Allah telah dilengkapi dengan nilai-nilai kerohanian yang dibaluti
pula dengan unsur jasmaniah.
Namun begitu menurut penulis
ditinjau daripada perspektif pendidikan, kerangka pendidikan bersepadu
tersebut akan merangkumi tiga dimensi kehidupan individu iaitu penumpuan
terhadp perkembangan: JASMANI, ROHANI, dan INTELEK. Rasanya lebih
lengkap jika ditambah aspek keempat iaitu unsur EMOSI. Maka lengkap
empat komponen yang meliputi setiap insan. Pendidikan sebagai mediumnya,
keempat-empat dimensi itu akan disemai kedalam setiap individu lantas
digilap agar dapat membentuk insan yang benar-benar utuh.
Selaras
dengan itu penulis mengutarakan tiga bidang ilmu yang utama terkandung
di dalam kerangka konsep Pendidikan Bersepadu ini. Bidang ilmu itu
adalah;
1. Ilmu Keagamaan (Religious Sciences), yang menjurus
kepada penerapan nilai-nilai ke arah menjalin hubungan antara insan
dengan Penciptanya.
2. Ilmu Kemanusiaan (Human Sciences), yang menghalakan fokus terhadap soal-soal berkisar bentuk hubungan sesama manusia.
3.
Ilmu Sains Tabie (Natural Sciences), merupakan disiplin ilmu
menjelaskan bagaimana manusia boleh menjalin hubungan dengan alam
sekitarnya.
Berdasarkan tiga dimensi ilmu yang
tersebut, penulis yakin inilah acuan yang dapat melahirkan insan yang
kamil hasil penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan akhlak.
Selanjutnya Pendidikan Bersepadu yang sedemikian rupa arah tuju dan
dasarnya perlu juga dilaksanakan secara bersepadu, ini melibatkan
penggemblengan tenaga dan kepakaran semua pihak yang meliputi
Kementerian Pendidikan,Guru,Ibu bapa dan Komuniti. Kesepaduan
perlaksanaan ini menunjukkan kesepakatan yang dinamakan oleh penulis
sebagai “Rangkaian Muafakat Pendidikan”.
ISU 7 : GURU DAN PERGURUAN
Sejak
kebelakang ini semakin jelas kedengaran tuntutan-tuntutan dari pelbagai
pihak terhadap perlunya ditingkatkan mutu pendidikan . Secara tidak
langsung harapan tersebut menuntut agar golongan guru bersedia dengan
tahap perkhidmatan yang lebih cemerlang. Selaras dengan itu para
pendidik disarankan agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada
pengetahuan secara umum atau ilmu profesional keguruan. Ini bertujuan
agar guru dapat bergerak seiring dengan perkembangan masyarakat
globalisasi.
Menurut penulis, dalam menangani
perubahan semasa, sistem pendidikan sewajarnya bermula daripada
perubahan kendiri. Ini bermakna para guru dapatlah mengubah sikap, gaya
kerja dan ‘world-view’. Setiap guru hendaklah bersifat fleksibel dan
dinamik selari dengan perubahan bersifat futuristik.Lantas guru mestilah
pula sanggup menerima sebarang kritikan kerana kesan kritikan akan
mewujudkan azam untuk berjaya. Malah juga guru perlu bersedia mengubah
amalan-amalan tradisi di samping bersikap sensitif terhadap realiti
persekitarannya.
Era globalisasi ini menghendaki guru bergerak
selaras dengan perkembangan ilmu pengetahuan maklumat dan teknologi
pemikiran yang dikenali dengan konsep ‘Literacy Numeral Informacy’ yang
seterusnya dapat digarap ke dalam kaedah pendidikan . Di samping itu,
guru diharapkan sentiasa lebih menekankan kepada aspek ketrampilan
kognitif. Aspek ini dijangkakan dapat melahirkan manusia berada pada
tahap tertinggi dalam tamadun keilmuan. Bagi mencapai tujuan demikian
guru diarahkan menitikberatkan bentuk-bentuk latihan berasaskan akal.
Menurut
penulis lagi guru bukan lagi hanya berfungsi sebagai penyalin acuan
budaya dari satu generasi kegenerasi baru. Namun sepatutnya lebih
bertanggungjawab sebagai penterjemah pengertian baru dalam budaya
tersebut agar pelajar tidak terpesong daripada arus budaya dan
nilai-nilai warisan. Semua usaha ini hendaklah berasaskan landasan yang
dibina berdasar visi dan misi sekolah sejajar dengan budaya masyarakat
umum.
Dalam keadaan masyarakat yang kian berkembang serentak
dengan perkembangan sains dan teknologi , tugas guru bukan lagi setakat
menzahirkan proses P&P. Sebaliknya seseorang guru sepatutnya
bersedia berperanan sebagai fasilatator, penyelesai masalah dan
pemangkin kejayaan pembelajaran. Lantas perancangan dalam sistem
pendidikan seharusnya diganjakkan daripada pembelajaran yang berpusat
kepada guru kepada pembelajaran yang berpusat kepada murid. Namun
golongan guru juga harus berani memperkembangkan diri ke arah bentuk
“self-directed” dan “self-reliant”.
Akhirnya bagi menyahut
cabaran-cabaran sedemikian, guru haruslah mempunyai komitmen yang tinggi
terhadap tugasnya. Lantaran itu seseorang guru semestinya sedar tugas
sebagai pendidik itu adalah hadiah yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.
Penghayatan yang sedemikian rupa akan melahirkan kecemerlangan dalam
diri yang selanjutnya merubah keluhuran peribadi guru dan kekesanannya
dalam pengajaran.Implikasinya wujud pula kecemerlangan pendidikan dan
tercapailah hasrat membentuk negara yang maju.
ISU 8 : PENTADBIRAN PENDIDIKAN ALAF BARU
Pentadbiran
pendidikan adalah bermula dari peringkat paling bawah iaitu guru(bilik
darjah), pengetua(sekolah) dan pegawai pendidikan di peringkat
daerah,negeri dan kementerian. Memasuki alaf baru ini, selaras dengan
perkembangan dalam arus perubahan masyarakat khususnya bidang
kependidikan, maka pihak terlibat dengan pentadbiran pendidikan mestilah
juga turut sama berubah. Berhubungan dengan ini perkhidmatan pendidikan
memerlukan pentadbiran yang dapat melepaskan diri daripada kepompong
yang mengikat “status-quo” yang sudak lapuk dan usang.
Pengurusan
dan pentadbiran seharusnya boleh berfungsi sebagai pemimpin yang dapat
mencetuskan usaha-usaha dalam keberkesanan pengurusan dan pendidikan
dengan sentiasa melakukan inovasi. Kalangan guru tidak harus terikat
dengan proses pembelajaran dan pengajaran yang terlalu terkongkong
dengan penjadualan kaku atau proses pengajaran yang menepati skrip Buku
Rekod Mengajar yang terlalu rigid.
Sebaliknya
setiap guru harus dibiarkan berani mempelbagaikan kaedah dengan
memadukan pemikran yang kreatif dan berinovatif. Dalam masa yang sama
pihak pentadbir sewajarnya menerima perubahan tersebut dengan
menzahirkan perhargaan terhadap setiap perubahan yang dibuat oleh
stafnya tanpa diiringi persoalan yang remeh yang merujuk manual kerja
sebagaimana dalam sistem kerja sedia ada.
Selanjutnya penulis
telah mencadangkan agar pemimpin-pemimpin pendidikan dapat membentuk
daya kerja secara berpasukan. Kejelekitan (cohesiveness) yang terbentuk
antara guru-guru, guru-pengetua dan guru-masyarakat, akan menghasilkan
proses pengemblengan tenaga dan penyatuan idea yang bernas. Di samping
itu proses tersebut akan menjadikan keadaan lebih telus terhadap
kritikan-kritikan yang dilontarkan ke arah pentadbiran pendidikan. Hal
sedemikian seterusnya dapat meningkatkan pula kualiti pendidikan.
Namun
begitu, pentadbir pendidikan juga seharusnya berkeupayaan
mengaplikasikan toeri pengurusan “SWOT”. Mereka perlu mengenalpasti
kekuatan yang ada dan menangani kelemahan bagi mengimbangi hambatan yang
cuba menghalang kejayaan. Dalam masa yang sama peluang-peluag yang ada
harus direbut sepenuhnya.. Bagi tujuan sedemikian, pihak pentadbir
hendaklah menganalisis murid, guru/staf, dan persekitaran yang
dihubungkaitkan dengan elemen di atas. Kemudian maklumat tersebut
dipungut dan diproses untuk merumus, merencana visi dan misi pendidikan
ke arah hala tuju yang lebih jelas dan dapat difahami oleh semua warga
pendidikan.
Bagi mencapai hasrat tersebut setiap anggota
pentadbir sepatutnya sudah menjalani frasa anjakan paradigma dariapada
pendekatan mengurus kepada pendekatan memimpin. Sesungguhnya seseorang
pentadbir bidang pendidikan merupakan pemimpin yang baik, dihromati,
efisyen serta memiliki ilmu pengetahuan meluas selaras dengan sifat
pengurusan semakin kompleks masa kini.
Perkara seterusnya perlu
dimiliki pemimpin pendidikan iaitu sahsiah dan akhlak yang baik agar
dapat diteladani oleh subordinat. Pentadbir yang berkesan harus
memiliki sikap berani mencuba dan saggup menanggung risiko. Sifat-sifat
ini penting bagi mendorong penerokaan bidang baru dalam pendidikan.
Institusi pendidikan sangat memerlukan pentadbir yang merupakan
pemimpin yang berkualiti. Stail kepemimpinan yang dinamis dan bersikap
terbuka akan merangsang motivasi kepada seluruh staf.. Akhirnya kualiti
dan imej pendidikan yang gemilang akan dapat dijana.
No comments:
Post a Comment